Martabat Manusia
Dalam
Islam tiada kasta yang membezakan seorang Muslim dari yang lain, dan
tiada institusi gereja. Tapi itu bukan bermakna bermakna tiada
perbezaan, dan perbezaan itu adalah merujuk kepada mutu keislaman
seseorang itu, yang asasnya kembali kepada ilmu dan kefahaman. Dalam
soal ini manusia berbeza. Al-Qur’an menyebut tidak sama orang yang
berilmu dengan yang jahil, manakala di kalangan mereka yang berilmu pula
tidak sama darjatnya masing-masing di sisi Allah. Malangnya, ini adalah
hakikat yang sudah tidak lagi difahami pada hari ini kerana manusia
rata-ratanya tiada ilmu, tidak cukup ilmu, dan mempunyai salah faham
yang mendalam terhadap hakikat dan sifat ilmu serta martabat ilmu.
Keadilan
tidak mungkin berlaku jika manusia tidak memiliki ilmu yang menunjukkan
kepadanya tempat yang sebenar bagi setiap sesuatu. Maka setiap Muslim
itu diperintahkan supaya berbuat adil, dan dia juga diperintahkan
menuntut ilmu, kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Ilmu itu
adalah prasyarat keadilan, sedangkan keadilan, menurut Islam, bermula
dan berakhir dengan diri sendiri. Salah untuk kita menyangka keadilan
itu hanya berlaku apabila ada dua pihak yang terlibat, seumpama antara
dua orang, atau antara pemerintah dan rakyat. Setiap manusia itu pada
hakikatnya ada dua diri, yakni diri akali dan diri hayawani, dan apabila
kita kata keadilan itu bermula dengan diri sendiri, yang kita maksudkan
dua diri ini mesti diletakkan pada tempatnya masing-masing. Tempat yang
benar bagi diri akali adalah sebagai pemerintah ke atas diri hayawani
dan bukan sebaliknya. Jika sebaliknya yang berlaku, yakni apabila diri
hayawani yang memerintah dan menguasai diri akali, maka kezalimanlah
akibatnya, dan itulah yang dimaksudkan oleh kenyataan Qur’an bahawa
manusia yang durhaka kepada Allah itu sebenarnya menzalimi dirinya
sendiri.
Kenyataan
al-Qur’an tentang keadilan dan kezaliman yang merujuk kepada diri itu
amatlah penting untuk kita fahami kerana di atas kefahaman itulah kita
sepatutnya bina konsep pendidikan. Kita fahami dari kenyataan itu bahawa
pendidikan sepatutnya bertujuan untuk melahirkan manusia yang adil,
bukan yang zalim, kerana hanya manusia yang adil yang mempu mengawal
diri, dan dengan sebab itu hanya dia yang boleh diberikan amanah
memimpin, mengawal, dan mengurus orang lain.
Dari
kenyataan al-Qur’an itu juga kita kita fahami bahawa yang menerima
pendidikan adalah manusia, oleh itu ilmu yang mengenalkan manusia
tentang hakikat diri dan potensi-potensinya adalah perkara utama dalam
pendidikan Islam. Yang perlu dididik adalah diri akali dan diri
hayawani, dan masing-masing mesti disediakan untuk diletakkan pada
tempatnya masing-masing. Akal mesti mengenal tempat yang benar bagi
setiap sesuatu, dan nafsu pula dilatih agar tunduk patuh pada isyarat
dan arahan akal. Dalam perkara ini taraf kesempurnaan setiap manusia
adalah berbeza, dan disitulah letaknya perbezaan martabat mereka di sisi
Allah.
Ditulis oleh Md. Asham B. Ahmad. Posted in ikim.gov.my
No comments