Menggilap Sifat Keunggulan

Menurut Ibn Miskawayh seorang ahli falsafah akhlak  abad ke 10 (941-1030) dalam karyanya Tahzib al-Akhlaq, setiap kejadian mempunyai sifat keunggulan masing-masing sesuai dengan fungsi dan peranannya  dalam kehidupan. Misalnya, batu mempunyai sifat keras bagi membolehkannya digunakan dalam pelbagai urusan pembinaan. Sementara  di dalam alam haiwan pula, kuda mempunyai sifat kelajuan yang menjadikannya tunggangan yang pantas bergerak. Sementara sebilah pisau mempunyai sifat ketajaman yang menjadikannya alat yang boleh memotong dengan mudah dan berkesan. Dengan kata lain, keunggulan sesuatu perkara menjadikan manfaatnya lebih besar dan bermakna dalam kehidupan.

Sifat keunggulan ini pula, sekiranya dimiliki di tahap yang sempurna dan terbaik oleh sesuatu benda dalam kelompoknya bakal menjadikannya lebih bernilai dari benda lain dari kelompok yang sama.  Contohnya, batu permata lebih bernilai dari batu-batu yang lain kerana di samping kecantikannya, ia merupakan batu yang paling keras. Begitu juga dengan kuda jenis arabian dianggap antara kuda yang paling hebat kerana kepantasannya berbanding kuda yang lain.

Berdasarkan permisalan di atas, persoalan yang menarik untuk difikirkan apakah keunikan manusia yang dicirikan oleh al-Qur’an sebagai sebaik-baik kejadian (Surah al-Tin:4),  dan apakah yang membezakan kehebatan sesama manusia?

Berdasarkan huraian yang diberikan oleh al-Qur’an dan huraian para ulama pengkaji hakikat diri manusia seperti Ibn Miskawayh dan Imam al-Ghazali, keunikan manusia terletak kepada kurniaan akal yang diberikan Allah kepadanya. Dengan akal, manusia mampu berfikir dan merenung bukan sahaja mengenai alam sekelilingnya tetapi juga tentang dirinya sendiri. Dengan akal yang sihat manusia mampu membezakan antara kebaikan dan keburukan lantas membuat keputusan dan bertindak hasil penilaian akalnya . Disebabkan keistimewaan ini juga,  manusia, berbanding makhluk Tuhan yang lain, diberikan pertanggungjawaban dan amanah  untuk menjadi hamba Allah yang sedar akan tanggungjawab penghambaannya ditambah dengan  amanah sebagai khalifah yang bertanggungjawab mentadbir alam ini.

Sebagaimana juga permisalan batu dan kuda di atas, ketinggian nilai seorang manusia berbanding yang lain juga bergantung kepada sejauh mana akalnya sebagai sifat keunggulannya digilap dan dimantapkan. Akal yang digilap dan dibina dengan baik pasti akan menghasilkan kebijaksanaan (hikmah), satu sifat keutamaan (fadilah) yang disifatkan oleh  Al-Qur’an sebagai salah satu sifat kenabian dan mereka yang terpilih seperti Luqman al-Hakim.  Al-Qur’an menegaskan bahawa “Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya Kitab Suci, dan Hikmah, serta pangkat kenabian” (al-An’am:89).   Al-Qur’an juga mengaitkan kebijaksanaan dengan kebaikan yang banyak (khayran kathir) “Dan sesiapa yang dikurniakan kebijaksanaan sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang amat banyak,” (al-Baqarah:269).

Dengan kebijaksanaan para Rasul dituruti dengan hikmah para ulama yang telah mewarisi mereka, manusia dan alam  keseluruhannya dicucuri rahmah dan kebaikan. Ilmu dan hikmah yang tersebar memandu manusia untuk menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera. Kebijaksanaan akan menghasilkan keharmonian dan keadilan dalam masyarakat.

Namun, kebijaksanaan inilah yang nampaknya semakin hilang dalam kehidupan manusia sekarang. Pelbagai bentuk ekstremisme dalam masyarakat sama ada dalam bentuk pemikiran ataupun dalam bentuk tindakan telah menghancurkan keamanan dan kesejahteraan manusia yang diwarisi dari generasi terdahulu. Manusia sudah lupa menggilap ciri keunikannya iaitu akal, sebaliknya menggilap sudut yang lebih rendah dalam dirinya iaitu emosi dan ammarah yang kalau digilap hanya akan menghasilkan kebencian, permusuhan dan kehancuran. Akal yang sihat tidak lagi menjadi neraca penilai yang adil tetapi telah diinjak dan diabaikan.

Justeru, manusia harus dikembalikan kepada nilai keunggulannya yang telah sedia membeza dan mengangkat martabatnya dalam kalangan makhluk Tuhan, bukan menghina diri mereka “setaraf dengan binatang ternakan malah lebih sesat” (al-A’raf:179).

Ditulis oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran. Posted in ikim.gov.my

No comments

Powered by Blogger.